*gambar hiasan
Sudah menjadi lumrah bagi seorang Muslim lagi Mukmin , antara keinginan dan matlamat yang hendak dicapai ialah mendapat Syurga Allah SWT sebagai tempat kehidupan yang abadi . Siapa yang tidak menginginkan ganjaran Syurga , yang mengalir di bawahnya sungai-sungai bahkan dipenuhi dengan pelbagai nikmat dan kesenangan yang tidak terdapat di dunia ini . Setiap individu Muslim sudah semestinya mengimpikan dan mendambakan sebuah Syurga sebagai sebaik-baik tempat kembali .
Syurga Allah SWT adalah satu tempat yang tidak dapat digambarkan dengan fikiran mahupun oleh akal seorang manusia .Tiada satupun tempat didunia ini yang mempunyai sedikit pun hakikat gambaran sebuah syurga . Namun di sana , Allah SWT melalui perantaraan Rasulullah SAW telah menjelaskan dan menceritakan kepada seluruh umat manusia akan hakikat sebuah Syurga . Al-Quran juga banyak menjelaskan tentang hikmat dan kesenangan yang terdapat dalam Syurga . Begitu juga dengan hadis-hadis dari Rasulullah SAW yang menceritakan tentang nikmat dan kesenangan yang terdapat dalam Syurga . Walaupun manusia dapat membayangkan serba sedikit akan kebenaran sebuah Syurga melalui dalil-dalil ini , namun pada hakikatnya Syurga itu adalah terlebih baik dan elok daripada yang digambarkan oleh manusia .
Persoalannya , layakkah diri kita ini untuk mendapat Syurg Allah SWT ? Sedangkan Syurga itu adalah sebaik-baik tempat kembali untuk hamba Allah SWT yang melaksanakan apa sahaja yang diperintahkan untuk mereka lakukan dan meninggalkan apa sahaja yang ditegah . Syurga itu adalah satu tempat yang sangat bernilai lagi suci . Maka , nilai sebuah Syurga itu bukanlah murah . Ia membutuhkan satu persediaan dan bayaran yang mahal untuk seseorang itu mendapatkan Syurga Allah SWT . Sesuai dengan nilaian sebuah Syurga yang dipenuhi dengan limpah pelbagai nikmat dan ganjaran , maka ia bukanlah satu tempat yang dapat dimiliki tanpa bayaran yang sewajarnya . Banyak persediaan yang perlu dilakukan oleh seorang hamba Allah dalam usaha untuk menggapai Syurga Allah SWT kelak .
Banyak sekali ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang amalan-amalan yang dapat menjamin seseorang itu untuk mendapat Syurga Allah SWT . Pada asasnya , setiap Muslim itu pasti akan merasai nikmat Syurga Allah SWT . Hanya , amalan mereka yang menentukan samaada mereka terus dimasukkan ke Syurga Allah SWT atau terlebih dahulu dibersihkan di neraka Allah SWT sebelum di masukkan di Syurga . Sudah semestinya , setiap daripada kita mahu dimasukkan terus kedalam Syurga tanpa perlu melalui proses pembersihan dan penyucian di neraka Allah SWT . Sedangkan azab di dalam neraka itu tidak terperi sakitnya .
Sekali lagi , marilah sama-sama kita bertanya kepada diri kita , layakkah aku ini untuk ke Syurga Allah SWT ? Muhasabahlah diri kita . Lihatlah kembali akan amalan-amalan dan ibadat yang kita lakukan . Adakah ia benar-benar menepati akan Syariat Allah SWT ? Hisablah diri kita . Adakah kita ini benar-benar melaksanakan Islam secara keseluruhan di dalam kehidupan kita , atau hanya mengambil sebahagian yang dirasakan terbaik untuk diri kita sahaja ? Renungla kembali , adakah seharian hidup kita ini dipenuhi dengan ibadat kepada Allah SWT , atau hanya diselubungi dosa-dosa yang sengaja kita lakukan ?
Ingatlah wahai teman , wahai pedamba Syurga Allah SWT , nilaian sebuah Syurga itu mahal harganya . Namun di sana Allah SWT yang Maha Adil lagi Maha Saksama telah menyediakan kepada kita jual beli yang mampu kita lakukan dan laksanakan dalam mendapat Syurga Allah SWT . Jika kita berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT , nescaya Allah SWT akan membalasnya dengan sebuah Syurga yang kita sendiri tidak dapat membayangkan dengan akal fikiran kita , namun kita mampu yakini dengan iman kita . Semoga kita semua , menjadi tetamu dan penduduk Syurga Allah kelak . InsyaAllah .
Assalammualaikum W.b.t :)
No comments:
Post a Comment